UTM DAN UNIVERSITI OXFORD KONGSI KEPAKARAN KESAN TABURAN HUJAN Print
Posted by Suriyani Yusoff   
Wednesday, 29 April 2009 14:14

KUALA LUMPUR: Setiap kali hujan lebat, pasti warga kota berdepan kesesakan lalu lintas. Bagaimanapun, keadaan itu bakal berakhir tidak lama lagi apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif membangunkan satu sistem amaran banjir, mengatasi masalah berkenaan.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Universiti Oxford bagi membina sistem berkenaan selain berkongsi maklumat mengenainya.

“Kesesakan jalan raya terutama di ibu kota disebabkan banjir dan kami sedang meneliti membangunkan satu sistem amaran menggunakan sistem ‘remote sensing’ dan GIS (Sistem Maklumat Geografi) bagi mengesan taburan hujan di sesuatu tempat. Dengan adanya sistem ini, pengguna jalan raya dimaklumkan jalan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan.

“Kami mengadakan kerjasama dengan Universiti Oxford kerana kumpulan penyelidik mereka berpengalaman mengendalikan masalah salji termasuk menentukan berapa lori diperlukan mengangkat salji dan pengalaman itu kami gunakan dalam menyusun atur perjalanan kenderaan pada musim hujan,” katanya pada sidang media mengenai pencapaian UTM, semalam.

Pada majlis sama, Zaini mengumumkan penubuhan Kumpulan Penyelidikan Bersekutu universiti berkenaan bagi memperkasakan bidang penyelidikan sekali gus meletakkan UTM sebagai peneraju membabitkan universiti penyelidikan di negara ini.

“Sebanyak 11 kumpulan penyelidikan bersekutu menumpukan penyelidikan dalam bidang air, bioteknologi, pembinaan, sains termaju, pengeluaran dan bahan, K-Ekonomi, tenaga, pelestarian, sibernatik, teknologi pengangkutan dan komunikasi maklumat.

“Kumpulan ini ditubuhkan melalui penggabungan pusat-pusat kecemerlangan, kumpulan penyelidik dan makmal penyelidikan sedia ada serta yang baru,” katanya.

Selain itu, menurutnya, penubuhan kumpulan itu sekali gus membuka jalan bagi UTM mencapai taraf universiti Universiti Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex).

Dipetik dari Sumber : Harian Metro Rabu 29 April 2009

Last Updated ( Wednesday, 29 April 2009 15:37 )